suria

Pemandu Peribadi Didenda Rm3,000 Miliki Kad ATM Majikan Dan Keluarkan RM1,500

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu peribadi pada Jumaat didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memiliki kad ATM majikannya dan mengeluarkan wang sebanyak RM1,500, dua minggu lepas.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhi hukuman itu ke atas Roslan Said, 46, yang didakwa memiliki kad ATM Maybank milik Norlela Abas, 38, dan mengeluarkan wang dari mesin ATM, di Maybank Islamic, Jalan Rampai Niaga 5, Medan Niaga Rampai, Wangsa Maju di sini pada 4.28 petang 4 Ogos lepas.

Bekas anggota tentera itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Norlela menyedari kad ATM miliknya hilang dan meminta pihak bank membatalkan kad ATM itu tetapi dimaklumkan berlakunya transaksi pengeluaran.

Norlela mengesyaki dua pekerjanya mengambil kad ATM itu kerana beliau pernah meminta mereka mengeluarkan wang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamrozzaman manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh.

Dalam kes lain di mahkamah yang sama, seorang guru tuisyen sambilan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencabul seorang pelajar universiti, Selasa lepas.

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain