suria

Pelajar Tingkatan 5 Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

KUANTAN: Seorang pelajar Tingkatan Lima terbunuh manakala adiknya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Km22, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis, Jumaat.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kemalangan kira-kira 10.45 pagi Jumaat, Amir Shariff Suhaimi, 17, mati di tempat kejadian manakala adiknya, Azwani Wan Shazarina, 13, hanya cedera ringan.

Katanya, kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beradik itu dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda telah melarikan diri dan setakat ini belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu, katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

"Saksi kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, Azwani Wan Shazarina dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Lipis manakala penunggang sebuah lagi motosikal tidak cedera. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain