suria

Monorel Rosak, 200 Penumpang Terkandas

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan monorel dari stesen Imbi ke Bukit Bintang tergendala hampir sejam pagi ini apabila sebuah tren mengalami kerosakan kecil, menyebabkan kira-kira 200 penumpang terkandas.

Jurucakap KL Star Rail, Azhar Ghazali berkata bagaimanapun kejadian pada 8.35 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan kepada penumpang.

Beliau berkata pihaknya mendapat panggilan daripada pemandu monorel pada 8.45 pagi dan sebuah tren penyelamat dihantar ke lokasi bagi memindahkan penumpang secara "tren-ke-tren" di mana kesemua mereka berjaya dipindahkan 10 minit selepas itu.

"Operasi tidak melibatkan pihak luar. Semua penumpang selamat dan ketika kejadian, enjin, pendingin hawa dan lampu monorel berfungsi seperti biasa," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Beliau berkata perkhidmatan disambung semula 30 minit kemudian dan punca kejadian masih disiasat.

"Bagi syarikat pengendali KL Star Rail, saya memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain