suria

Sekali Lagi Spekulasi Tarikh Pilihan Raya Dibuat

PETALING JAYA: Notis rutin yang dikeluarkan oleh Parlimen kepada ahli Parlimen yang mengesahkan bahawa persidangan Dewan Rakyat akan datang akan berlangsung dari 24 September sekali lagi menjadi bualan tentang tarikh pilihan raya.

Notis tersebut dihantar melalui kurier ke pejabat 222 ahli Parlimen, Rabu, menyatakan bahawa Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2013 pada 28 September seperti yang dijadualkan.

Ia juga menyatakan bahawa persidangan yang terakhir sebelum tempoh Kerajaan berakhir pada bulan April, akan diadakan seperti dijadualkan pada 24 September hingga 27 November.

"Baru mendapat notis daripada Parlimen - persidangan bermula dari 24 September. Oleh itu pilihan raya akan ditangguhkan dan BN akan melalui tempoh penuh?" ahli Parlimen DAP Ipoh Barat M. Kulasegaran menulis di Twitter @mklula.

Ketika dihubungi, Kulasegaran berkata adalah satu kemungkinan bagi Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen tahun depan.

Bagaimanapun, beliau berkata Najib boleh juga membentangkan Bajet pada 28 September dan kemudian membubarkan Parlimen selepas itu.

"Mungkin juga Najib mahu memberi kejutan kepada semua dengan membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet, seperti apa yang berlaku pada tahun 1999," kata Kulasegaran.

Pada tahun itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Parlimen pada 11 November semasa ia masih membahaskan Bajet yang dibentangkan pada 15 Oktober.

Artikel Lain