suria

Polis Bachok Rampas Mercun Disembunyi Dalam Kandang Kambing

BACHOK: Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM4,500 daripada seorang lelaki yang disembunyikan dalam kandang kambing dekat rumahnya di Kampung Kuchelong di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Abdul Rahim Che Ghani berkata mercun dan bunga api itu dipercayai untuk diedarkan kepada pekedai sekitar daerah ini sempena Aidilfitri.

"Dalam serbuan pukul 1.25 pagi itu, pelbagai jenis mercun dan bunga api yang berbahaya kepada pengguna dan melanggar undang-undang dirampas," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata serbuan melibatkan sepasukan tujuh anggota polis itu pada mulanya gagal menemui bahan berkenaan di rumah lelaki tersebut sebelum ia dijumpai disembunyikan di kandang kambing berdekatan.

Abdul Rahim berkata lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957 kerana memiliki mercun tanpa permit yang sah, yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Lain