suria

Peniaga Dihukum Penjara Sebabkan Wanita Hamil Maut

PUTRAJAYA: Seorang peniaga dihukum penjara 24 bulan kerana memandu secara berbahaya dan menyebabkan seorang penumpang sebuah kereta yang hamil sembilan bulan, meninggal dunia. Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Wira Abu Samah Nordin, yang mempengerusikan panel tiga hakim, sebulat suara menolak rayuan akhir Toh Sea Yong untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu yang mengekalkan hukuman penjara 24 bulan yang dikenakan Mahkamah Majistret terhadap perayu.

Dua lagi anggota panel itu ialah Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Abu Samah berkata mahkamah berpendapat tidak berlaku kesilapan besar dari segi penghakiman terhadap keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah.

"Oleh itu, rayuan ini ditolak dan perayu perlu menjalani hukumannya bermula hari ini," kata beliau.

Toh, 42, kelihatan sugul selepas mahkamah mengumumkan keputusannya.

Toh dituduh memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Noor Aslindawati Muhamed, 22, yang menaiki kereta bersama suaminya di Km 121.7 Jalan Raya Timur Barat, Jeli, Kelantan, pada kira-kira pukul 10 pagi 8 Disember, 2003.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 dan penjara antara dua dan lima tahun.

Pada 24 Mei, 2010, Mahkamah Majistret Jeli menjatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM5,000 terhadap Toh selepas mendapatinya bersalah bagi tuduhan itu. Majistret berkenaan juga mengeluarkan perintah agar lesen memandunya digantung dua tahun.

Toh mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu kepada Mahkamah Tinggi Kota Baharu, tetapi rayuannya ditolak pada 7 Julai tahun lepas.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika suami wanita berkenaan Abdul Halim Hussain memandu kereta dari Tanah Merah, Kelantan untuk menghantar isterinya itu, pelajar tahun akhir, ke Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.

Toh cuba memotong sebuah lori apabila kenderaannya terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dinaiki pasangan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, manakala Toh diwakili peguam Datuk Ghazi Ishak. BERNAMA

Artikel Lain