suria

Nasharudin Perlu Datang, Bincang Dengan Parti - Nasrudin

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa digesa supaya berbincang dengan pimpinan parti jika beliau ingin menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap sesuatu perkara.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, Nasharudin tidak sepatutnya menyerang dan mempertikaikan keputusan parti di media pihak lawan.

"Dia tidak perlu bertindak seperti yang dilakukan oleh bekas Persuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali sebelum ini. Jika ada perkara yang beliau tidak puas hati, datang dan bincang dengan parti," katanya dalam satu kenyataan.

Nasrudin berkata, tiada sesiapa gembira dengan kenyataan yang dikeluarkan beliau kecuali musuh politik yang mahu melihat pergolakan berlaku dalam PAS.

"Pastinya kesempatan ini akan diambil sepenuhnya oleh musuh politik untuk melemahkan PAS. Nasharudin sewajarnya insaf bahawa beliau yang memerlukan perjuangan ini, bukan sebaliknya," katanya.

Nasharudin dikecam hebat oleh pimpinan PAS selepas mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan parti itu supaya keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang pelaksanaan hukum hudud.

Kenyataan beliau dalam satu temu bual dengan media di Mekah itu disiarkan dalam Buletin Utama, TV3 malam Selasa.

Beliau turut meminta PAS menyatakan pendirian sebenar parti itu berhubung penolakan secara konsisten DAP dan Pengerusinya Karpal Singh terhadap cita-cita menubuhkan negara Islam.

Karpal baru-baru ini yang menegaskan pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam oleh Pas adalah perkara yang paling tidak dipersetujui parti tersebut.

Menurut Karpal, DAP konsisten berhubung perkara itu dan pendirian parti tersebut tidak pernah berubah sejak sekian lama malah akan terus mempertahankannya.

Artikel Lain