suria

Tema Hari Kebangsaan Berbeza Hanya Helah Elak Guna Tema Pusat

PADANG SERAI: Tindakan negeri dikuasai pembangkang menggunakan tema Hari Kebangsaan berbeza hanya helah untuk mengelak daripada menggunakan tema yang dibuat kerajaan pusat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ini kerana mereka sendiri sudah maklum amalan seluruh negara sejak lebih 50 tahun ialah menggunakan tema yang diputuskan kerajaan pusat.

Mereka tidak mahu menggunakan tema kerajaan pusat '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' kerana takut dengan bayang-bayang sendiri yang sering berbohong, khususnya janji pilihan raya umum 2008, katanya kepada Bernama, di sini, Rabu.

Justeru kata Ahmad Bashah, bagi mengaburi mata rakyat pembangkang mencipta retorik.

Beliau juga menganggap tindakan kerajaan Kedah pimpinan PAS yang menukar tema daripada 'Terus Berbakti' kepada 'Sebangsa, Sejiwa, Senegara' kerana ditekan pucuk pimpinan pakatan.

Sementara itu, Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah berkata BN negeri sedang melakukan persiapan terakhir menjelang pilihan raya umum ke-13.

BN Kedah akan mengurangkan ceramah besar-besaran dan mencontohi usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendekati rakyat secara hubungan sentuhan mesra dan santai, katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan raya, Ahmad Bashah menyeru pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Lunas dan Merbau Pulas agar tidak mengulangi kesilapan yang mereka lakukan pada pilihan raya umum lepas.

"Mujurlah ada kerajaan yang bertanggung jawab seperti BN dan tidak seorang pun rakyat di sini yang dipinggirkan," katanya. Pada majlis itu, 500 golongan memerlukan yang dipilih oleh 79 ketua cawangan dalam bahagian berkenaan menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai yang dihulurkan Umno Bahagian Padang Serai dan Lembaga Kemajuan Wilayah (Keda). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain