suria

Syabas Diarah Tutup Mulut - MB Selangor

SHAH ALAM: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan media tanpa mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor terlebih dahulu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata di bawah perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan syarikat konsesi air tersebut, hanya kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kenyataan.

"Sekiranya mereka (Syabas) mahu mengeluarkan sebarang kenyataan, mereka perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Khalid berkata Jawatankuasa Pemantau itu, yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Muhammad Khusrin Munawi, berbuat demikian bagi memaklumkan perkembangan terkini status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beliau berkata dari semasa ke semasa, kerajaan negeri juga akan memanggil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyertai mesyuarat di antara kedua-dua pihak terutama dari segi kos pembaikan paip dan loji pembersihan air.

Berhubung dakwaan Koordinator Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa pengurusan atasan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) telah menulis surat kepada Konsortium Abbas Sdn Bhd (ABBAS) untuk mengurangkan pengeluaran air terawat, Khalid berkata arahan itu dikeluarkan selepas perbincangan dengan SPAN.

Sebelum ini, Mohd Zin mendakwa arahan itu ditandatangani melalui satu memo bertarikh 29 Dis 2011 oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KPS Suhaimi Kamaralzaman yang meminta ABBAS mengurangkan pengeluaran air terawat daripada kira-kira 142 juta gelen sehari kepada hanya 120 juta gelen sehari.

Dalam pada itu Khalid berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa mengenai perkara itu. langkah kerajaan persekutuan mengeluarkan tender terbuka pembinaan Langat 2.

"Tetapi daripada segi pelaksanaan, kerajaan negeri telah membuat kenyataan selagi penyusunan semula air tidak selesai, pandangan kerajaan negeri terhadap Langat 2 ialah ia belum lagi dianggap satu perkara utama dalam pelaksanaan operasi pengendalian air di Selangor," katanya. Ditanya mengenai kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik di Lembah Klang sekiranya projek meningkatkan keupayaan bekalan elektrik Tenaga Nasional Bhd di Rawang masih tertangguh, belisu berkata adalah lebih baik perkara itu diselesaikan dengan kadar segera.

Berhubung isu pengambilan tanah Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) oleh kerajaan negeri, beliau berkata proses pengambilan tanah itu berlaku menerusi beberapa peringkat.

Mengikut Kanun Tanah Negara, beliau berkata kerajaan negeri boleh mengambil tanah yang tidak digunakan mengikut syarat yang ditetapkan dan tiada pembayaran cukai.

Khalid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mohd Zin bahawa tanah seluas 234 hektar di Gombak yang dimiliki secara sah oleh SAP Holding Bhd iaitu anak syarikat KHSB, telah dirampas oleh Kerajaan Selangor tanpa alasan kukuh.

Dalam perkembangan lain, mengenai Universiti Selangor (Unisel), Khalid berkata kerajaan negeri telah meminta Unisel menyediakan pelan tindakan kecemasan bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dan mempunyai tempat tinggal yang sesuai jika asrama yang diuruskan oleh Jana Niaga Sdn Bhd di kampus Bestari Jaya tidak dapat digunakan.

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain