suria

PKR Kata Fauziah Bukan Pembocor Maklumat

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu menyangkal penglibatan pegawai kerajaan dalam membocorkan dokumen dan maklumat sulit kepada PKR yang kemudiannya mendedahkan tentang anugerah kontrak pembinaan sambungan projek LRT Ampang kepada George Kent(Malaysia)Bhd.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, dakwaan yang dibuat terhadap Setiausaha Bahagian Perolehan di Kementerian Kewangan Datuk Fauziah Yaacob oleh beberapa bloger adalah fitnah dan satu bentuk serangan yang tidak wajar untuk menakut-nakutkan kakitangan kerajaan.

"Saya boleh mengesahkan bahawa Datuk Fauziah Yaacob bukanlah individu yang bertanggungjawab menyerahkan dokumen-dokumen terbabit kepada Keadilan...bukan dia yang dedahkan maklumat itu.

"Tindakan bloger-bloger tertentu memfitnah beliau adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan pegawai-pegawai kerajaan agar tidak membantah sebarang keputusan melibatkan kerajaan yang diambil oleh ahli politik Umno," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, dekat sini, Rabu.

Katanya, serangan peribadi terhadap Fauziah adalah penghinaan terhadap kaum wanita sebagai penjawat awam yang dihormati serta dikenali ramai.

"Melalui sumber-sumber kita dapati beliau adalah seorang yang sangat profesional dalam menjalankan tugasnya.

"Saya berharap agar beliau cekal dan terus bertahan selaku setiausaha di Kementerian Kewangan," katanya.

Dalam pada itu Zuraida turut mencabar Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan pimpinan-pimpinannya tampil membela Fauziah.

"Tindakan keras harus diambil terhadap dalang yang menggunakan taktik "character assasination' seperti ini terhadap pimpinan kanan perkhidmatan awam terutama daripada kalangan wanita," tegasnya.

Sementara itu Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, tindakan penulis blog memfitnah penjawat awam adalah satu tindakan tidak beretika.

Beliau turut mendakwa blog menfitnah Fauziah dibuat oleh 'bloger-bloger' yang dibayar dengan tujuan menyampaikan 'mesej' kepada kakitangan awam supaya tidak mendedahkan maklumat penyelewengan.

"Selama ini kita dapati penulisan blog oleh mereka ini dianggap 'sampah', namun perkara ini harus diberi perhatian kerana ia melibatkan peribadi kakitangan awam.

"Dalam keadaan sekarang berlaku pelbagai tekanan kepada pemberi maklumat yang boleh didakwa," katanya.

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain