suria

Mahkamah Batal Saman Pesara ATM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Rabu membatalkan saman 404 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap kerajaan Malaysia, Singapura dan beberapa pihak lagi.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin membatalkan saman yang difailkan Tengku Zainal Abidin Tengku Yusoff, 58, yang mewakili 403 pegawai ATM berhubung semakan gaji pesara terbabit, dengan kos RM40,000.

Vazeer berkata saman itu menyalahi proses mahkamah kerana penguatkuasaan tangga gaji pegawai ATM yang dipersetujui kabinet ketika itu berlaku pada 1972 dan tidak lagi melibatkan Republik Singapura kerana negara itu telah keluar daripada gabungan Malaysia pada 1965.

Tambahnya, saman yang sama juga pernah difailkan pada 2001 dan ia juga dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Tengku Zainal Abidin yang berpangkat kapten, memfailkan saman itu pada 20 Januari lepas dengan mendakwa mewakili 403 pegawai berpangkat Leftenan Muda hingga Jeneral. Pesara tentera itu menamakan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, enam Perdana Menteri Malaysia bermula Tunku Abdul Rahman sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Pertahanan bermula era Tun Abdul Razak Hussein sehingga sekarang iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Pertahanan, kerajaan Malaysia dan kerajaan Republik Singapura.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa perdana menteri pertama sehingga keenam dan ketua setiausaha negara telah menipu, melakukan konspirasi dan menyalahguna kuasa mereka untuk menjatuhkan maruah pegawai ATM dengan cara memotong kuantum gaji kor dan elaun pegawai berkenaan dari tahun 1963 sehingga sekarang.

Antara yang dituntut ialah deklarasi bahawa keputusan kabinet pada 1963 yang menyisihkan ATM daripada Suruhanjaya Khas yang dibentuk untuk menyemak tangga gaji dan perkhidmatan untuk kesemua sektor awam, adalah salah dan melanggar undang-undang. Tengku Zainal Abidin mewakili dirinya sendiri dan 403 tentera lain manakala Peguam Kanan Persekutuan M. Kogilambigai mewakili enam Perdana Menteri Malaysia bermula Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak, ketua setiausaha negara dan beberapa pihak kerajaan Malaysia.

Peguam Datuk Cyrus Das mewakili bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dan kerajaan Singapura. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain