suria

Geng Curi Motosikal 'Mirul Payung' Tumpas

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu melumpuhkan sindiket curi motosikal yang didalangi seorang remaja berusia 19 tahun dikenali sebagai 'Mirul Payung' hasil penahanan lapan suspek termasuk remaja berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata kesemua mereka yang berusia antara 15 dan 40 tahun itu ditahan dalam operasi 'Ops Lejang Mirul Payung' di sekitar Sungai Tong, Setiu dekat sini bermula Khamis hingga Sabtu lepas.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiga daripada suspek termasuk Mirul Payung bertindak sebagai pencuri manakala selebihnya pula dipercayai pembeli motosikal itu.

"Salah seorang daripada dua lagi pencuri itu merupakan pelajar sekolah berusia 15 tahun manakala dua daripada lima pembeli itu berumur 17 tahun juga dipercayai masih bersekolah.

"Ia kemudian dijual kepada lima individu lain dengan harga RM200 sebuah yang kemudiannya meleraikan motosikal itu dan dijual sebagai alat ganti," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata polis menemui semula dua motosikal jenis Honda EX5 dan lapan rangka motosikal iaitu melibatkan empat kes yang dilaporkan hilang di daerah ini dan selebihnya di Setiu.

Sementara itu, Manoharan berkata polis kini sedang mengesan enam individu dikenali sebagai Khodir, Ajis, Mamat, Khairi, Yuti dan Ayen yang tinggal di sekitar Sungai Tong, Setiu kerana disyaki turut terlibat dalam kes itu.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka atau kumpulan itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di talian 09-6354722 atau 09-6354810 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain