suria

Polis Tahan Tiga Sekeluarga Disyaki Edar Air Ketum Di Setiu

SETIU: Polis menahan tiga sekeluarga yang disyaki terlibat dalam pemprosesan, penjualan dan pengedaran air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jelapang, Sungai Tong Isnin.

Serbuan ke rumah itu dibuat ekoran penahanan seorang lelaki bisu berusia 34 tahun di Kampung Jelapang, Sungai Tong pada pukul 10 pagi dan penemuan 10 plastik cerah mengandungi air ketum dalam bakul motosikal yang ditunggang lelaki itu.

"Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku membeli air berkenaan untuk kegunaan dirinya sendiri, sekaligus membongkarkan rahsia tiga beranak yang aktif menjual air ketum kepada buruh di Ladang sekitar Kampung itu," kata Ketua Polis Daerah Setiu DSP Rohaizat Abd Ani.

Beliau berkata berikutan itu polis menyerbu rumah tiga beranak itu dan menahan seorang wanita berusia 39 tahun dan anak perempuannya yang berumur 20 tahun serta merampas 85 bungkus air ketum.

Selepas penahanan itu, polis menahan seorang buruh yang merupakan suami wanita terbabit di ladang sawit di kampung itu dan menemui 90 bungkus air ketum di dalam bakul motosikal lelaki itu, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata hasil soal siasat suspek membawa polis ke tempat pemprosesan air ketum di dalam sebuah ladang sawit dan polis menjumpai 570 bungkus lagi air ketum.

"Polis turut merampas 40 kilogram daun yang belum diproses, periuk besar, balang gas serta peralatan yang diguna untuk memproses bahan itu," katanya.

Beliau berkata lelaki berumur 44 tahun bersama anak serta isterinya itu dipercayai telah terlibat dalam penjualan dan pengedaran air ketum sejak tiga tahun lepas.

"Hasil siasatan kedua wanita itu mengaku membantu menjual air terbabit dan kami percaya lelaki berkenaan mendapat bekalan daun itu dari utara tanah air," katanya.

Dalam kes berasingan, polis menahan dua sahabat berusia 21 dan 22 tahun kerana memiliki 200 biji pil kuda dalam pemeriksaan terhadap sebuah kereta Perodua Myvi di Masjid Chalok Kedai, di sini pada pukul 4.30 petang semalam.

Rohaizat berkata hasil pemeriksaan polis menemui satu paket biru berisi pil kuda yang dianggarkan bernilai RM6,000 di dalam seluar seorang daripada suspek.

Hasil saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua mereka negatif dadah, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain