suria

Polis Tahan Lelaki Dipercayai Saki Baki Kumpulan Samun 'India Boy' Di Johor

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai saki-baki anggota kumpulan 'India Boy' dalam serbuan di sebuah rumah, di kawasan Lima Kedai, Gelang Patah, dekat sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata lelaki berumur 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam 16 kes samun itu, diberkas pada 6 petang, hasil risikan dan maklumat awam.

Hasil siasatan, lelaki itu disyaki aktif melakukan samun di sekitar Nusajaya sejak dua tahun lepas, dan dia kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, katanya.

"Polis merampas beberapa barangan dipercayai hasil samun, antaranya tujuh telefon bimbit bersama 10 bateri, lima jam tangan, tiga parang panjang dan dua beg sandang dalam bilik di rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Turut dirampas, sebuah motosikal jenis Honda EX5 dipercayai digunakan untuk menyamun.

Noor Hashim berkata sebelum ini, polis menahan empat orang rakannya yang juga anggota kumpulan terbabit dan kini usaha giat dijalankan bagi mengesan ketua kumpulan yang dikenali sebagai S.Sathis Kumar, 24.

Beliau berkata Sathis Kumar atau dikenali sebagai 'Masai Boy' beralamat terakhir di nombor 7, Jalan Bahagia, Lima Kedai, dan dia kini disenaraikan sebagai orang dikehendaki polis. - BERNAMA

Artikel Lain