suria

PLUS Beri Rebat 30 Peratus

KUALA LUMPUR: PLUS Expressways Bhd (PLUS) akan memberi rebat tol sebanyak 30 peratus kepada pengguna yang membayar tol menggunakan sistem elektronik sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid berkata rebat tol itu akan diberikan kepada orang ramai pada 15, 16, 22, 23 dan 31 Ogos ini.

"Rebat tol tersebut diberikan kepada orang ramai yang menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go atau SmartTAG ketika membayar tol di lebuh raya kendalian PLUS.

"Ia merupakan satu langkah PLUS bagi menyemarakkan sambutan Hari Raya dan Hari Merdeka selain merupakan satu strategi PLUS untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan pantas," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Noorizah berkata pemberian rebat tol itu juga merupakan langkah PLUS untuk mengagihkan trafik dan menggalakkan orang ramai bergerak pada hari di luar waktu puncak.

Katanya rebat berkenaan boleh dituntut di pusat khidmat pelanggan PLUS apabila pengguna menambah nilai kad elektronik mereka bermula 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

"Sempena musim cuti ini, PLUS menjangkakan jumlah trafik akan meningkat sebanyak 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan setiap hari.

"PLUS menggesa orang ramai supaya membayar tol secara elektronik bagi mempercepatkan transaksi tol dan membolehkan mereka melalui plaza tol dengan lebih selesa dan cepat," katanya.

Noorizah berkata rebat tol tersebut bagaimanapun tidak akan diberi kepada pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang. BERNAMA

Artikel Lain