suria

Penjawat Awam Antara Tiga Ditahan Terlibat Jual Mercun, Bunga Api

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Melaka menahan tiga individu termasuk seorang penjawat awam kerana dipercayai terbabit menjual bunga api dan mercun dalam dua serbuan, pada Isnin.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Said berkata dalam serbuan pertama pukul 11.15 pagi di Batu Pahat, Johor, seorang penjawat awam berusia 40-an ditahan bersama mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM11,830 dengan nilai cukai RM7,689.50.

"Kita percaya rumah ini telah lama dijadikan stor penyimpanan mercun dan bunga api yang dibawa masuk melalui jalan darat dari negara jiran," katanya pada sidang media, di sini Selasa.

Beliau berkata ketika serbuan, pihaknya mendapati banyak kotak kosong di rumah itu dipercayai mengandungi mercun dan bunga api yang telah berjaya dijual di pasaran tempatan.

Katanya tangkapan kedua pula melibatkan seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 30-an dan 40-an, yang menjual mercun dan bunga api di Bazar Ramadan Taman Cempaka di sini, pukul 10 malam tadi.

Mohd Nasir berkata pihaknya merampas mercun dan bunga api seberat 260 kg bernilai RM7,200 dengan nilai cukai RM4,680.

Mengulas kes lain, beliau berkata pihaknya merampas mercun, bunga api, rokok dan arak bernilai RM21,716.22 dengan nilai cukai RM78,929.80 di sebuah bengkel kereta terbiar di kawasan Semabok di sini, pada 1 Ogos lepas.

Selain itu katanya Kastam Melaka juga berjaya mematahkan empat cubaan penyeludupan menggunakan lori dari arah selatan ke Lembah Klang, yang membawa arak dan rokok bernilai RM367,151.96 melibatkan cukai berjumlah lebih RM2.3 juta pada Julai lepas.

Mohd Nasir berkata secara keseluruhan Kastam Melaka berjaya merampas pelbagai barangan larangan bernilai RM402,138.40 dengan cukai berjumlah lebih RM2.4 juta sepanjang Julai hingga hari ini. BERNAMA

Artikel Lain