suria

Malaysia Desak OIC Selamatkan Syria

MAKKAH: Malaysia akan mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil langkah serius untuk menyelamatkan Syria daripada terus hancur akibat konflik yang melanda negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan menyuarakan pendirian dan gesaan itu dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah yang bermula hari ini (Selasa).

"OIC perlu mengambil langkah positif dan lebih tegas untuk menyelamatkan Syria dan bukan sekadar mengambil tindakan politik sahaja," kata beliau kepada pemberita Malaysia di sini..

Perdana Menteri mengetuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC anjuran Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud dan persidangan itu bertujuan membincangkan situasi terkini di negara dan dunia Islam dengan hasrat mengembalikan dan mengukuhkan perpaduan umat Islam serata dunia dan memerangi unsur yang membawa kepada perbalahan dan kekacauan.

Persidangan itu berlangsung di As-Safa Palace yang terletak bersebelahan Masjidil Haram dan bermula selepas solat tarawih sehingga waktu bersahur.

Mengenai laporan media yang memetik bahawa Syria digantung daripada menganggotai OIC, Najib berkata perkara itu juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat malam ini dan pendirian Malaysia ialah mahu Syria terselamat daripada kehancuran dan OIC harus membela nasib umat Islam di negara yang sedang bergolak itu.

Setiausaha Agung OIC Ekmeleddin Ihsanoglu dipetik oleh AFP sebagai berkata Syria yang sedang dilanda peperangan tidak akan diwakili dalam sidang kemuncak itu.

Konflik di Syria bermula pada Mac 2011 dengan tunjuk perasaan awam iaitu sebahagian daripada kebangkitan 'Arab Spring' yang lebih meluas dan merebak kepada pemberontakan di seluruh negara, serta perang saudara pada 2012.

Penunjuk perasaan mendesak supaya pemerintahan Parti Ba'ath yang berkuasa hampir lima dekad ditamatkan lebih awal di samping peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad.

Kerajaan Syria mengerahkan angkatan tenteranya untuk menumpaskan pemberontakan itu dan tentera dilaporkan diarahkan supaya melepaskan tembakan ke arah orang awam.

Konflik 17 bulan itu mengorbankan lebih 21,000 orang, menurut kumpulan pemantau. BERNAMA

Artikel Lain