suria

Kematian Akibat Kemalangan Jalan Raya Di KL Tahun Lepas Menurun - Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR: Kes kematian akibat kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur sepanjang tahun lepas menurun kepada 227 kes berbanding 243 kes pada 2010.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kes kematian mencatatkan penurunan walaupun kes kemalangan jalan raya di ibu negara sepanjang tahun lalu meningkat kepada 58,282 kes berbanding 53,498 kes pada 2010.

"Data kemalangan di Kuala Lumpur yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan peningkatan sebanyak 8.94 peratus iaitu 4,784 kes, jadi kita berharap kes melibatkan kemalangan jiwa dapat terus menurun pada tahun ini," katanya pada sidang media majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan hari raya Aidilfitri peringkat Wilayah Persekutuan di sini Selasa.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan hampir 300 beg mengandungi minyak pelincir, topi keledar dan risalah mengenai keselamatan jalan raya kepada pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi.

Raja Nong Chik berkata program anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan itu antara lain bertujuan meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap keselamatan mereka.

Program ini merupakan kesinambungan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha 9 Ogos lalu di Terminal Bas Bersepadu Bandar Tasik Selatan.

"Kita berharap dengan pelancaran kempen ini, kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan, dan saya menasihati pengguna jalan raya supaya memastikan kereta berada dalam keadaan baik, jangan membawa kenderaan ketika mengantuk serta paling penting jangan tergesa-gesa dengan cara merancang perjalanan sebelum bergerak bagi mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Raja Nong Chik berkata bagi warga kota yang tidak pulang ke kampung, jangan mengambil kesempatan dengan memandu laju di jalan raya yang lengang.

"Bila jalan dah lengang, mereka yang masih tinggal di Kuala Lumpur teringin untuk bawa laju, jadi kita menasihatkan kepada mereka supaya berhati-hati dan jangan berlumba-lumba memandu kerana kemungkinan berlaku kemalangan tetap ada," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain