suria

Keluarga Rayu Lanun Bebaskan Mangsa Culik

Muhammad Khairun (kiri) memperkatakan sesuatu kepada isteri mangsa penculikan di Teluk Guinea, Bibi Suntek (dua kiri) di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno pada Selasa. -Foto The Star/CHAN TAK KONG
Muhammad Khairun (kiri) memperkatakan sesuatu kepada isteri mangsa penculikan di Teluk Guinea, Bibi Suntek (dua kiri) di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno pada Selasa. -Foto The Star/CHAN TAK KONG
Muhammad Khairun (kiri) memperkatakan sesuatu kepada isteri mangsa penculikan di Teluk Guinea, Bibi Suntek (dua kiri) di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno pada Selasa. -Foto The Star/CHAN TAK KONG

KUALA LUMPUR: Keluarga mangsa kes penculikan warga Malaysia George Lipih Anak Ambo di Teluk Guinea pada 4 Ogos lalu, menggesa lanun yang menahan suaminya segera membebaskan lelaki berkenaan.

Isteri mangsa, Bibi Suntek berkata dia hanya mahu suaminya dibebaskan dalam keadaan selamat kerana anak-anaknya amat merindui ayah mereka.

"Saya hanya harap George dapat balik dalam keadaan selamat. Masa mula-mula terima berita (penculikan) ini anak saya yang kedua demam panas sebab tidak dapat terima kenyataan ayah mereka kena culik.

"Anak saya yang sulung juga terpaksa tangguhkan pengajian di kolej selepas kes ini. Anak-anak amat terganggu kerana mereka rapat dengan George," katanya nada dalam tersekat-sekat kepada pemberita di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno pada Selasa.

Ternyata berita penculikan suaminya cukup meninggalkan kesan kepada Bibi, 42 dan dia hanya mampu mengalirkan air mata sebak mengenangkan keadaan suaminya ketika ini.

George,42, bekerja sebagai juruelektrik di atas kapal Jascon 33 milik Sea Trucks Group ketika serangan berlaku.

Mengulas lanjut, Bibi berkata kali terakhir dia berhubung dengan suaminya adalah pada 3 Ogos lalu sehari sebelum kejadian malang itu berlaku.

"Pada malam 3 Ogos anak bongsu saya, Aaron Jay ada bersembang dengan ayahnya di laman Facebook.

"Dia tidak ada hubungi melalui telefon kerana pada minggu sebelumnya dia ada hubungi saya. Selalunya dia (George) akan bertanya khabar kami anak-beranak melalui Facebook kerana itu lebih mudah," katanya yang kali terakhir berjumpa dengan suaminya, Jun lalu.

Justeru, beliau berharap kerajaan Malaysia dapat membawa pulang suaminya dalam keadaan selamat dengan segera.

George mempunyai tiga cahaya mata lelaki, Nathaniel Japang, 18 tahun, Bill Easter 15 tahun dan Aaron 9 tahun.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata pihaknya telah mengadakan rundingan dengan lanun berkenaan melalui pihak ketiga yang dipercayai oleh mereka.

"Biro Aduan secara proaktif sejak 6 Ogos lepas telah berjaya berkomunikasi dengan pihak ketiga di Lagos, Nigeria.

"Mereka ini bertindak sebagai pemudahcara perhubungan dengan pihak lanun. Jaminan yang telah diberikan adalah mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak dicederakan oleh lanun berkenaan," katanya.

Menurut Khairun, Biro Aduan juga sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Abuja, Wisma Putra dan mereka yang berkaitan.

"Seluruh anggota keluarga mangsa dalam keadaan sedih dan risau. Namun kita yakin dan berharap agar mangsa dibebaskan segera. Kami menyeru, seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama berdoa agar lanun-lanun berkenaan dapat membebaskan orang yang tidak berdosa seperti George," katanya.

Ditanya sama ada pihak lanun ada meminta wang tebusan bagi membebaskan George, Khairun bagaimanapun enggan mengulas sebaliknya beliau berkata ada halangan yang tidak membenarkan beliau mendedahkannya kerana rundingan dengan pihak berkenaan masih dijalankan.

Baru-baru ini, agensi berita asing melaporkan sekumpulan lelaki bersenjata menyerang dua kapal milik Sea Trucks Group yang menyediakan perkhidmatan kapal sokongan untuk syarikat minyak dan gas di Nigeria, kira-kira 35 batu nautika dari Delta Nigeria, kawasan pantai yang kaya dengan hasil minyak.

Kawasan delta itu sebelum ini cukup sinonim dengan serangan ganas penjenayah serta insiden penculikan dilihat semakin tentang susulan program pengampunan oleh kerajaan beberapa tahun lalu.

Ketika serangan awal pagi Sabtu itu berlaku, dua anggota tentera laut yang mengawal kapal berkenaan terbunuh, dua lagi cedera manakala dua lagi selamat.

Selain rakyat Malaysia, seorang masing-masing rakyat Indonesia, Iran dan Thailand turut menjadi mangsa culik kumpulan itu.

Biro Maritim Antarabangsa dalam laporannya bulan lepas menyatakan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 32 insiden serangan lanun di Teluk Guinea direkodkan berbanding 25 kes tahun lepas.

Artikel Lain