suria

Anggota Trafik Nyaris Maut Dilanggar Penjenayah

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis trafik nyaris maut apabila dia dilanggar kereta ketika menjalankan rondaan sempena Ops Selamat sempena Aidilfitri di Merchang, Marang pada Ahad lepas.

Kejadian kira-kira 9 malam itu berlaku apabila dua suspek yang menaiki Perodua Viva dipercayai membawa dadah beserta mercun dan bunga api, cuba melarikan diri dengan mengundurkan kereta selepas ditahan polis berhampiran sebuah klinik kesihatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata pada mulanya kereta itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Alor Toman, Marang dan selepas menyedari kehadiran polis, suspek memecut sehingga berhenti di sebuah klinik di Merchang.

"Ketika dua anggota polis turun memeriksa, secara tiba-tiba kereta itu mengundur dan pintu bahagian belakang yang terbuka telah melanggar salah seorang anggota polis dan seorang lagi berjaya mengelak.

"Selepas itu, suspek sekali lagi cuba mengundurkan kereta menyebabkan salah seorang anggota yang cuba dilanggar itu terpaksa melepaskan dua das tembakan sebelum suspek melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Manoharan berkata dalam insiden itu menyebabkan Konstabel Faizul Anuar Mat Rani, 20-an, cedera di tapak tangan kanan serta calar di siku tangan dan lutut.

Beliau berkata polis kemudian mengejar suspek tetapi kedua-duanya berjaya meloloskan diri dalam keadaan gelap di Kampung Tok Fakir, Marang.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta yang ditinggalkan itu, polis menemui sebilah pisau rambo serta sejumlah mercun dan bunga api termasuk dadah.

"Hasil siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan salah seorang suspek berusia 27 tahun di sebuah rumah di Kampung Alor Tembesu, Marang pada pukul 4.15 pagi, Isnin lepas," katanya.

Beliau berkata polis kini sedang memburu Ahmad Zuzaizool Hilmi Zulkifli, 37, beralamat di Jalan Chendering, Bukit Payung, Marang bagi membantu siasatan.

Katanya suspek yang baru dua bulan dibebaskan dari penjara mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan beliau meminta orang ramai membantu polis mengesan suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain