suria

287 Kemalangan Dicatat Sekitar Ibu Negara Sejak Dua Hari Op Selamat Bermula

KUALA LUMPUR: Sebanyak 287 kes dengan satu kemalangan maut di sekitar ibu negara dicatat sepanjang dua hari Op Selamat yang bermula Ahad lepas, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Beliau berkata sebanyak 120 kes dicatat pada hari pertama Op Selamat diikuti 167 kes semalam dengan satu kemalangan maut membabitkan pejalan kaki di Jalan Puchong.

"Kami masih cuba untuk meminimakan angka kemalangan ini, terutama kemalangan maut, dan apa yang dapat saya lihat sejak dua hari Op Selamat dilancarkan, ada sedikit penurunan kes kemalangan berbanding sebelum ia dilancarkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Taman Desa, di sini Selasa.

Mohmad menasihatkan orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya serta merancang perjalanan mereka bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama yang ingin pulang ke kampung.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung agar mengisi borang balik kampung untuk diserah kepada balai polis berhampiran agar tugas pengawasan dan pemantauan mudah dilakukan.

"Suka saya ingatkan dalam kesibukan kita hendak balik beraya, saya minta mereka isi borang balik kampung dan serahkan di mana-mana balai berhampiran rumah mereka, borang ini boleh didapati di laman web polis dan didapati di pondok-pondok polis," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohmad melahirkan rasa dukacita apabila masih ramai masyarakat yang masih belum mendaftarkan diri sebagai ahli rakan cop untuk bersama-sama polis dalam membanteras jenayah.

"Penduduk di negara kita ada kira-kira 28 juta, tetapi yang menjadi ahli hanya lebih kurang 460,000 manakala di Kuala Lumpur penduduk kita kira-kira 1.8 juta tetapi hanya 96,000 yang mendaftar sebagai ahli, jadi saya rasa angka ini masih rendah untuk kita mengajak masyarakat bersama-sama kita dalam mencegah jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain