suria

Tujuh Geng Pecah Rumah Latin Papilon Ditangkap

SHAH ALAM: Polis percaya mereka dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah di sekitar Shah Alam dengan tertangkapnya tujuh lelaki anggota 'Geng Latin Papillon'.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata kegiatan mereka yang mensasarkan rumah mewah di sini dipatahkan dengan tertangkapnya seorang suspek berumur 49 tahun pada pukul 8 malam 3 Ogos lepas, ketika berjalan-jalan dalam keadaan mencurigakan semasa bertembung dengan sepasukan polis yang melakukan rondaan di Seksyen 8 di sini.

Hasil siasatan ke atas suspek pertama, polis kemudiannya menahan enam lagi suspek pada 9 Ogos lepas di Kondominium Papillon Desa Hill di Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata ada di antara suspek dari negara-negara Amerika Latin itu didapati boleh berbahasa Malaysia dan Inggeris dengan modus operandi menekan loceng pintu atau pintu pagar rumah terlebih dahulu bagi memastikan penghuni tiada di rumah sebelum memecah masuk.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai jenis jam tangan, barangan kemas, komputer tablet dan riba, wang tunai pelbagai negara termasuk Malaysia bernilai lebih RM700, telefon bimbit, kamera dan kamera video, televisyen LCD, pasport antarabangsa Guatemala, Colombia dan Costa Rica dan peralatan yang digunakan bagi memecah rumah seperti pemutar skru.

"Kami menganggarkan kesemua barangan kes yang dirampas ini bernilai lebih RM300,000 dan ia dipercayai milik mangsa pecah rumah yang dilakukan suspek," katanya.

Zahedi berkata pihaknya akan meminta kerjasama daripada Jabatan Imigresen untuk menyiasat rekod perjalanan kesemua suspek selain akan menghubungi pejabat kedutaan negara masing-masing bagi memastikan kesahihan pasport serta kewarganegaraan mereka.

"Selain itu, mangsa pecah rumah di sekitar daerah ini juga diminta menghubungi pihak polis bagi melakukan pengecaman barang dan ini sekaligus dapat membantu proses siasatan," katanya.

Zahedi berkata kesemua suspek, yang berusia di antara 21 hingga 49 tahun, kini direman sehingga 16 Ogos depan dan mereka disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain