suria

Syarikat Penerbitan Buku Irshad Manji Dibenar Cabar Keputusan Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan syarikat penerbitan buku terjemahan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' untuk membuat semakan kehakiman bagi mencabar keputusan larangan percetakan buku tersebut.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bol Hasan yang mewakili Timbalan Menteri Dalam Negeri dan dua lagi, serta peguam K. Shanmuga bagi pihak syarikat ZI Publications Sdn Bhd.

Shanmuga memberitahu pemberita bahawa hakim membenarkan permohonan pihaknya selepas tiada bantahan daripada pihak responden. Bagaimanapun tarikh pendengaran masih belum ditetapkan.

Pada 9 Julai lalu, syarikat tersebut memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

ZI Publications mendakwa Timbalan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah larangan percetakan, pengimportan, penghasilan dan penjualan buku tersebut pada 29 Mei lalu.

Syarikat itu mendakwa tidak diberi sebarang peluang untuk memberi pandangan sebelum perintah larangan dikeluarkan.

Dakwanya, buku tersebut mengandungi pendapat dalam bentuk rencana yang mengkritik pendekatan sedia ada dalam hal pentadbiran agama dan tidak memudaratkan.

Syarikat itu juga mendakwa larangan tersebut juga tidak sah kerana tidak konsisten dengan Artikel 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.(Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan soal kebebasan bercakap, berhimpun, berpersatuan, mengeluarkan pendapat/bersuara). ZI Publications memohon kebenaran untuk membatalkan perintah responden pertama dan suatu deklarasi bahawa perintah tersebut adalah tidak sah dengan kos. BERNAMA

Artikel Lain