suria

Ramadan Erat Hubungan Ahli Politik-Pengundi

PETALING JAYA: Ramadan menjadi bulan paling sibuk bagi ahli politik di mana mereka meluangkan masa bersama pengundi di kawasan masing-masing sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Aktiviti politik agak perlahan sepanjang Ramadan, bulan untuk mengerjakan puasa dan meningkatkan amal ibadah di kalangan umat Islam.

Namun Ramadan pada tahun ini lebih berbeza ketika spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam beberapa bulan semakin bertiup kencang.

"Kebanyakan kita menghabiskan lebih banyak masa Ramadan ini bersama dengan pengundi supaya jika pembubaran parlimen berlaku selepas Hari Raya, kita sudah melaksanakan tugas bertemu rakyat.

"Fokus utama adalah bertemu rakyat kerana segelintir individu terutama di kawasan luar bandar lebih menghargai masa bersemuka dan akan kecewa jika kita tidak mengunjungi mereka," kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Walaupun kalendar dipenuhi dengan aktiviti sibuk, suhu politik agak dingin kerana bercakap buruk mengenai orang lain tidak disukai umat Islam terutamanya sepanjang Ramadan.

"Isu emotif terus meningkat di laman blog tetapi dalam situasi sebenar, momentum perbalahan politik menurun ketika umat Islam fokus pada bulan Ramadan," kata Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin berkata, dia akan meluangkan masa setiap empat hari seminggu sepanjang bulan Ramadan di kampung halamannya di Bachok, Kelantan.

Pada bulan yang mulia ini, beliau akan menghulurkan bantuan kepada golongan miskin, bertemu rakyat di bazar Ramadan dan berbuka puasa bersama mereka.

"Saya meluangkan lebih banyak masa di Bachok pada Ramadan berbanding bulan lain tahun ini. Terdapat pelbagai undangan perlu dipenuhi," katanya.

Artikel Lain