suria

Polis Tumpas Geng Terawih Curi Motosikal

TUMPAT: Polis menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai 'Geng Tarawih' berikutan tertangkapnya lima lelaki yang disyaki mencuri motosikal ketika pemiliknya menunaikan solat Tarawih sejak awal Ramadan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng berkata, pihaknya mengesan lima kes kecurian motosikal di beberapa masjid sekitar Wakaf Baharu, dua di Masjid Pak Kerau dan satu di Masjid Pengkalan Kubur.

"Kesemua kejadian itu berlaku semasa jemaah masjid sedang mengerjakan solat Tarawih, dan melibatkan kerugian kira-kira RM24,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, Isnin.

Beliau berkata semua suspek, termasuk seorang pelajar, berusia lingkungan 17 dan 26 tahun, ditahan dalam beberapa serbuan di Wakaf Baharu, Wakaf Che Yeh serta Pengkalan Chepa.

"Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas enam motosikal disyaki dicuri di daerah Tumpat, tetapi kebanyakkan komponen kenderaan itu telah dileraikan," katanya.

Lai juga berkata polis menjumpai satu set kunci Allen yang diguna untuk merosakkan suis utama motosikal sebelum melarikan kenderaan itu.

"Dengan menggunakan alat itu, penjenayah mudah menghidupkan enjin selepas hendalnya disentap kuat sebelum menyambung ke suis utama," katanya.

Beliau percaya suspek menjual komponen motosikal kepada rakan mereka yang merupakan anggota rangkaian sindiket itu di seluruh negeri ini.

Sehubungan itu, pemilik motosikal dinasihat menggunakan kunci tambahan selain memakir kenderaan mereka di kawasan terang bagi mengelak kecurian.

Selain itu, Lai mengingatkan ibu bapa agar mengawasi serta memberi perhatian terhadap anak mereka yang menyimpan komponen motosikal yang dilerai di rumah kerana dikhuatiri barang curi. BERNAMA

Artikel Lain