suria

Polis Tahan Enam Lelaki, Rampas Dadah Hampir Setengah Juta

SHAH ALAM: Polis menahan enam lelaki serta merampas dadah jenis heroin dan ketamin seberat 12.74 kilogram bernilai RM472,850 dalam tangkapan berasingan di Gombak dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata dalam tangkapan pertama, polis menahan empat lelaki dan merampas sebuah beg berisi lapan bungkusan plastik dipercayai dadah jenis heroin seberat 3.63kg di kawasan parkir di sebuah kuil di Batu Caves kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

"Dua jam selepas tangkapan pertama, polis menahan dua lagi lelaki di pangsapuri di Gombak dan merampas dua bungkusan dadah jenis heroin seberat 348 gram serta 13 bungkusan dadah ketamin seberat 8.76kg," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.

Polis turut merampas beberapa asid dan bahan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

"Kesemua mereka ditahan berumur antara 21 dan 26 tahun yang mana tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah seperti dadah dan samun. Hasil ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah," katanya.

Tun Hisan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Beliau berkata kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan jika ia dibungkus semula, boleh dijual kepada 7,964 penagih pada harga RM25 bagi satu tiub dengan nilai keuntungan mencecah RM200,000.

"Bayangkan berapa ramai penagih baru akan muncul selain mengedarkan bekalan kepada penagih sedia ada sekiranya dadah itu terlepas untuk diedarkan," katanya.

Mengenai perkembangan kes bunuh seorang wanita warga Indonesia di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada Jumaat lepas, Tun Hisan berkata polis telah menahan seorang lelaki warga Pakistan berumur 26 tahun pada pukul 9 pagi tadi.

Beliau berkata lelaki terbabit yang merupakan teman sebilik mangsa, ditahan ketika sedang mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di Taman Paramount, Petaling Jaya.

"Kita percaya kes ini berjaya diselesaikan dengan tangkapan tersebut," katanya. BERNAMA

Artikel Lain