JOHOR BAHARU: Polis sedang memburu ketua Geng Tikus yang masih bebas setelah lima anggota geng itu ditahan di sebuah rumah di Taman JP Perdana awal bulan ini.Ketua Polis Johor DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata suspek dikenali sebagai Lee Sai Kiew, 40, yang beralamat terakhir di No 280 Cheroh, Raub, Pahang. "Geng ini disyaki terlibat dalam kes pecah rumah, samun dan curi kereta di sekitar Iskandar Malaysia," katanya.Dalam serbuan 5.30 pagi pada 4 Ogos itu, anggota kumpulan itu yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia, berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun.Mohd Mokhtar berkata siasatan mendapati tiga daripada mereka mempunyai tujuh rekod kesalahan termasuk bunuh, samun, curi kenderaan dan dadah.Beliau berkata kesemua mereka kini direman selama 14 hari sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.Yang turut dijumpai di rumah yang diserbu itu ialah tujuh buah komputer riba pelbagai jenis, empat televisyen LCD, sebuah pemain VCD, sebuah sistem teater rumah, sebuah set peralatan rawatan sauna, satu pemotong besi, pelbagai minuman keras, sarung tangan, serangkai kunci Master Key dan dua buah kereta curi.Mohd Mokhtar turut mengumumkan kejayaan polis menumpaskan sindiket pecah rumah dan curi kenderaan di Seri Alam dengan penangkapan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 35 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Cemerlang pada 4 pagi Sabtu lalu.Polis turut menemui antara lain dua buah kereta jenis Toyata Wish yang dilaporkan hilang di Taman Johor Jaya, sebilah pisau lipat, satu pemotong besi, dua batang kekunci Allen, dua batang spanar dan dokumen peribadi mangsa.Beliau berkata dengan penangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes rumah dan kes curi kereta di Seri Alam.Kesemua suspek yang ditahan disiasat di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan dan seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun hingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA