suria

PM Hadir Sesi Ke-4 Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri sesi keempat Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mekah, Arab Saudi, Selasa ini.

Pada mesyuarat dua hari itu, Perdana Menteri dijangka menyampaikan kenyataan berkenaan pendirian Malaysia terhadap isu-isu yang akan dibangkitkan pada sidang tersebut, menurut kenyataan Wisma Putra pada Ahad.

Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC itu dianjurkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud bagi membincangkan pelbagai isu yang sedang melanda dunia Islam hari ini.

Persidangan tersebut sudah bermula dengan dua mesyuarat persediaan iaitu Mesyuarat Peringkat Pegawai-pegawai Kanan pada Sabtu dan Ahad serta Mesyuarat Peringkat Menteri pada Isnin.

Persidangan itu bertujuan membincangkan situasi terkini serta mengembalikan dan mengukuhkan perpaduan umat Islam dan memerangi unsur yang membawa kepada perbalahan dan kekacauan, menurut Wisma Putra.

Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman. BERNAMA

Artikel Lain