suria

Ops Selamat: 193 Kawasan Hitam Di Seluruh Negara - JPJ

PUCHONG: Operasi Ops Selamat yang bermula dari 12 hingga 26 Ogos ini sempena perayaan Aidilfitri telah mengenalpasti 193 kawasan hitam di seluruh negara agar para pengguna mengambil langkah berhati-hati, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata, ia terdiri daripada 97 kawasan yang diletakkan anggota polis manakala 96 lagi kawasan akan dipantau oleh anggota JPJ untuk tujuan penguatkuasaan.

"Kami ingin mengingatkan para pemandu yang melalui kawasan itu bahawa ia adalah kawasan berbahaya yang menyebabkan kemalangan dan kadang-kadang menyebabkan kehilangan nyawa.

"Pengenalan 'blackspot' (kawasan hitam) ini bertujuan untuk memastikan pengguna jalan raya memandu lebih berhati-hati sempena musim perayaan ini," katanya kepada para pemberita sempena Ops Selamat hari kedua di Tol Puchong Selatan di sini, Isnin.

Solah berkata, kawasan panas itu dikenal pasti berdasarkan kekerapan kemalangan yang berlaku.

"Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia). Orang ramai boleh melihat lokasi 'blackspot' ini di laman web JPJ dan anggota kami akan mengadakan penguatkuasaan di kawasan-kawasan berkenaan," katanya.

Menurut Solah, seramai 1,806 anggota penguatkuasa JPJ digerakkan dalam operasi tersebut.

"Operasi penguatkuasaan yang bermula 12 Ogos berfungsi memantau 32 terminal bas, membuat penyamaran dalam bas ekspres selain mengawasi kawasan hitam di seluruh negara," katanya.

Beliau menambah, penyamaran dalam bas ekspres melibatkan anggota JPJ yang akan menyamar sebagai penumpang biasa dan memerhatikan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu.

"Jika pemandu melakukan kesalahan, saman akan dikeluarkan serta-merta kepada pemandu. Kami mahu memastikan penumpang selamat tiba ke destinasi masing-masing," katanya.

Kesemua anggota JPJ itu meliputi 846 anggota yang bertugas untuk memantau di kawasan hitam, 512 (terminal bas), 84 (penyamaran dalam bas ekspres), 84 (penyamaran kesalahan trafik), 168 (penguatkuasaan khas motosikal) dan 112 anggota lagi bertugas di bilik kawalan.

Berdasarkan Ops Selamat hari kedua oleh JPJ, sebanyak 4,259 kenderaan telah diperiksa, 1,107 daripadanya melakukan kesalahan, 690 diambil tindakan dan 726 saman dikeluarkan.

Artikel Lain