suria

Malaysia, New Zealand Iktiraf Ijazah Sarjana Muda

PETALING JAYA: Malaysia dan New Zealand hari ini mengiktiraf ijazah sarjana muda yang dikeluarkan universiti masing-masing sebagai memenuhi standard dan kualiti yang ditetapkan kedua-dua negara.

Perkara itu disahkan menerusi Kenyataan Keyakinan (SoC) antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Agensi Kelayakan New Zealand (NZQA) yang ditandatangani pada Isnin.

MQA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Ahmad Hussein dan NZQA diwakili Timbalan Ketua Eksekutif Kelayakan Richard Thornton.

Syed Ahmad berkata pengiktirafan tersebut berjaya ditandatangani setelah satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan bagi menyediakan laporan perbandingan standard kelayakan ijazah sarjana muda dan sistem jaminan kualiti kedua-dua agensi.

"Jawatankuasa ini telah memberi tumpuan terhadap usaha melaksanakan proses penentuan 'comparability' di antara standard kelayakan ijazah sarjana muda sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kerangka Kelayakan New Zealand (NZQF) dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta 'compatibility' sistem jaminan kualiti kedua-dua negara," katanya pada sidang media selepas majlis itu di Pejabat MQA, di sini.

Beliau berkata usaha tersebut juga adalah sebahagian daripada pelaksanaan di bawah Memorandum Kerjasama antara MQA dan NZQA yang dimeterai pada 14 April 2011.

"Kerangka dan kemajuan tugasan yang dilaksanakan oleh jawatankuasa ini turut diulas oleh Dr Bryan Maguire dari 'Higher Education and Training Awards Council' (HETAC), Ireland yang dilantik sebagai 'international verifier' untuk kedua-dua pihak.

"Kenyataan bersama ini menzahirkan kepada umum keyakinan kedua-dua agensi bahawa kelayakan standard ijazah sarjana muda di kedua-dua negara memenuhi syarat seperti telah ditetapkan oleh MQF dan NZQF," katanya.

Syed Ahmad berkara SoC ini adalah permulaan yang akan memudahkan proses pelajar melanjutkan pengajian di kedua-dua negara serta pertukaran pelajar antara Malaysia dan New Zealand.

"Kita harap kenyataan bersama ini dapatkan galakkan mobiliti pelajar, dan juga pengajar antara kedua-dua sistem pengajian di Malaysia serta New Zealand," katanya.

Ketika ini kira-kira 2,100 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di New Zealand dalam pelbagai bidang. BERNAMA

Artikel Lain