suria

Kilang Kayu Kerugian Lebih RM2 Juta Dalam Kebakaran Di Kepala Batas

KEPALA BATAS: Sebuah kilang kayu di Jalan Dua di sini kerugian lebih RM2 juta selepas musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata dalam kejadian pada 12.30 pagi itu, seramai 32 anggota bomba dan penyelamat dari Kepala Batas, Butterworth dan Perai bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

Katanya ketika bomba tiba di lokasi kejadian, api sedang marak berikutan produk kayu yang terdapat di kilang berkenaan.

"Kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kilang berdekatan dalam tempoh 15 minit dan memadamkan keseluruhan api dalam masa dua jam," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Mohamad Shoki berkata pihaknya turut berjaya mengawal api daripada merebak ke sebuah tangki yang mengandungi 500 liter diesel yang berada di perkarangan kilang itu.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana pekerja kilang terbabit sempat menyelamatkan diri dan punca kebakaran sedang disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain