suria

Kastam Terengganu Rampas 220kg Mercun, Bunga Api

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 220 kilogram dipercayai untuk dijual sempena Aidilfitri.

Kesemua barangan itu dirampas hasil penahanan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Besut, Rabu lalu.

Pengarah Kastam Terengganu, Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata pihaknya telah menjalankan intipan selama empat jam sebelum dapat mengesan kenderaan berkenaan yang sarat dengan muatan mercun dan bunga api kira-kira pukul 8.30 malam.

Katanya hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 10 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenama dan turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun untuk siasatan lanjut.

"Kesemua nilai rampasan termasuk kenderaan terbabit ditafsirkan kira-kira RM30,000 dan ini merupakan rampasan kedua terbesar bagi tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Abdullah Zawawi berkata bekalan mercun dan bunga api itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui jalan kampung bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan sesiapa didapati bersalah boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan aktiviti penyeludupan supaya menyalurkannya menerusi talian 09-6228477 atau talian bebas tol 1800-88-8855.

Katanya identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan bayaran saguhati akan diberi kepada pemberi maklumat yang berjaya menghasilkan kes. BERNAMA

Artikel Lain