suria

Harga Ayam Tahun Ini Lebih Murah - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Harga siling ayam sempena sambutan Aidilfitri tahun ini adalah lebih murah iaitu RM6.80 sekilogram berbanding RM7.20 sekilogram tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata harga itu telah dipersetujui melalui perbincangan bersama persatuan penternak, pemborong dan peruncit berikutan terdapat bekalan yang tinggi.

Ismail Sabri turut berpuas hati kerana terdapat sebahagian besar peniaga dan penjaja menjual ayam lebih murah daripada harga kawalan sehingga RM5.90 sekilogram.

"Harga ini bergantung kepada penawaran dan permintaan. Bila bekalan tinggi harga dapat diturunkan. Harga ayam RM6.80 sekilo adalah paling murah setakat ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan 'Ihsan Ramadhan dan Aidilfitri' kepada 517 penduduk Cheras di sini Isnin.

Beliau juga berkata selain ayam, 19 barangan lain turut dipantau sepanjang skim kawalan harga musim perayaan dilaksana mulai semalam sehingga 26 Ogos ini.

Beliau berkata sehingga semalam, sebanyak 5,950 premis perniagaan termasuk di kawasan pedalaman di seluruh negara diperiksa dalam operasi pemantauan harga barang kawalan secara serentak Ahad.

Katanya operasi itu melibatkan 2,000 anggota penguat kuasa, 1,600 skuad pemantau, 2,000 anggota dari Persatuan Perlindungan Pengguna Kebangsaan serta 60,000 skuad pengguna dan penghulu.

Mengenai promosi jualan murah sempena Aidilfitri, Ismail Sabri berkata semua pemilik pasar raya diwajibkan menyenarai sekurang-kurangnya 70 peratus barangan atau produk dari premis mereka.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai jualan murah kerana peniaga juga wajib memberi notis dan senarai barang 14 hari lebih awal sebelum jualan murah diadakan, bagi tujuan pemeriksaan.

Individu yang didapati bersalah mengikut Akta Perihal Dagangan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain