suria

Shahrizat Puas Hati Komitmen Jentera Wanita

KUALA SELANGOR: Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berpuas hati dengan jentera Wanita Umno di semua peringkat yang tidak jemu turun padang demi membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), akan datang.

Beliau berkata Wanita Umno sangat komited dan bekerja keras dalam usaha mengukuhkan sayap parti itu.

"Saya puas hati dengan pencapaian Wanita Umno di semua peringkat...mereka inilah yang menjadi kekuatan (BN) untuk mendampingi rakyat seterusnya menyelesaikan masalah rakyat," katanya selepas merasmikan majlis Mahabbah Ramadan di Masjid Jamiur Ridhwan, Jeram, di sini hari ini.

Shahrizat berkata Wanita Umno kini dalam keadaan bersiap-sedia bagi menghadapi PRU-13 yang disifatkan lebih mencabar.

"Apa yang membuatkan saya bangga, tahap pembabitan dan perjuangan Wanita Umno sangat tinggi bermula dari peringkat akar umbi. Mereka telah bersedia (menghadapi pilihan raya) dan apa yang saya boleh kata...semangat saya meluap-luap untuk tunggu PRU kali ini," katanya.

Menurut Shahrizat, pengundi wanita juga dilihat telah meletakkan kepercayaan kepada BN yang selama ini terbukti telah banyak memperjuangkan nasib golongan itu selama ini.

"Kerajaan BN telah menunjukkan keprihatinan mereka kepada golongan wanita yang mana telah membantu golongan ini seperti ibu-ibu tunggal...kita berharap mereka akan meletakkan terus kepercayaan itu kepada BN," katanya.

Mengulas mengenai calon baru yang akan diketengahkan untuk bertanding, Shahrizat berkata:"Kita ada calon-calon yang layak, mungkin mereka ini akan diletakkan untuk bertanding".

Terdahulu pada majlis itu, seramai 1,000 wanita dari sekitar Kuala Selangor bertadarus beramai-ramai dan mereka yang kurang berkemampuan turut menerima sumbangan duit raya. BERNAMA

Artikel Lain