suria

Polis Tahan 14 Lelaki & Seorang Pemilik Pusat Hiburan Di Pulau Perhentian

BESUT: Polis daerah ini menahan 15 lelaki berumur antara 20 hingga 40 tahun termasuk seorang pemilik premis hiburan tanpa lesen di Pulau Perhentian Besar dalam satu serbuan awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata semasa serbuan dilakukan terdapat beberapa pelanggan premis sedang berhibur di bawah pengaruh dadah.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan terhadap mereka mendapati tiga daripada mereka positif dadah dalam serbuan kira-kira pada pukul 3 pagi itu," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan di bawah pelbagai kesalahan termasuk menguruskan pusat hiburan tanpa lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

Katanya, polis juga merampas pelbagai alatan muzik di premis itu dalam operasi selama dua jam itu.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata polis dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan telah memulakan 'Operasi Rantau" bagi mengesan pemilik kenderaan yang mempunyai pelbagai kesalahan semasa dan lampau yang bermula semalam sehingga 26 Ogos ini di sekitar Besut. - BERNAMA

Artikel Lain