suria

Peniaga Diingatkan Pamer Tanda Harga Merah Jambu Pada Barang Kawalan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menunjukkan contoh tanda harga barang kawalan musim perayaan ketika memeriksa harga barang kawalan musim perayaan di Pasar Pagi Kerayong pada perasmian Majlis Skim Kawalan Harga dan Jualan Mesra Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri.-Foto BERNAMA

BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran kepada para peniaga supaya mempamerkan tanda harga merah jambu pada 20 jenis barangan kawalan atau berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011 jika gagal berbuat demikian.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga merah jambu denda RM10,000 akan dikenakan.

Peniaga yang menjual harga lebih daripada harga siling dan tidak meletakkan tanda harga pula boleh didenda RM100,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan ini terpaksa dilakukan bagi membendung para peniaga menaikkan harga dengan tujuan mengaut keuntungan pada musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis Skim Kawalan Harga dan Jualan Mesra musim perayaan hari raya Aidilfitri 2012 di Dataran Kerayong, Bera di sini, Ahad.

Katanya, skim kawalan harga musim perayaan bermula hari ini sehingga 26 Ogos 2012 dijalankan serentak di seluruh negara bagi menjamin pengguna dilindungi.

"Saya berharap semua peniaga dapat mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mereka daripada diambil tindakan undang-undang," katanya.

Ketika melawat pekan sehari Kerayong, beliau berpuas hati kerana sebahagian besar peniaga dan penjaja mematuhi peraturan dengan mempamerkan tanda harga pada barangan jualan masing-masing serta menjual harga lebih rendah daripada harga siling.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memuji inisiatif Persatuan Majlis Pengguna Wilayah Persekutuan menggerakkan 2,000 anggotanya membantu kerjaan memantau peniaga di musim hari raya ini.

Katanya langkah ini perlu dicontohi persatuan pengguna lain dalam membantu memantau harga barangan pada musim perayaan.

Beliau berkata, seramai 2,000 anggota penguatkuasa, 1,600 skuad pemantau dan 60,000 skuad pengguna dan penghulu digerakkan bagi memantau harga mulai hari ini.

Beliau meminta orang ramai menghubungi talian hotline KPDNKK di 1-800-886-800 atau laman web http://www.kpdnkk.gov.my atau SMS ke 1588 jika mendapati ada peniaga menaikkan harga barangan tersebut.

Di PETALING JAYA, Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Petaling Jaya, Muhd Ruhani Abu Bakar berkata tinjauan pemantauan di Pasar Besar, Jalan Othman, menunjukkan kebanyakan peniaga mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan. - BERNAMA

Artikel Lain