suria

Pengambilan Pekerja Bangladesh Guna Mekanisme Kerajaan Ke Kerajaan?

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.Subramaniam akan mengkaji kertas cadangan oleh Bangladesh bahawa kedua-dua negara menghapuskan orang tengah dalam pengambilan pekerja asing apabila beliau melakukan lawatan ke Dhaka dalam tempoh terdekat.

"Kita mahu melihat mekanisme untuk membawa masuk pekerja menerusi perjanjian kerajaan ke kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan bola sepak anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) di sini, Sabtu.

Beliau berkata, delegasi Malaysia dijangka berangkat ke Bangladesh selepas sambutan Hari Raya.

"Selain para pegawai Kementerian Sumber Manusia, terdapat beberapa pegawai dari Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan menyertai delegasi ini," katanya.

Dr Subramaniam berkata, Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin bersetuju dengan lawatan ke Dhaka susulan rayuan oleh Bangladesh kepada Malaysia untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja dari negara itu.

Malaysia memutuskan membekukan pengambilan pekerja Bangladesh pada Oktober 2007 berikutan banyak kes dan aduan exploitasi oleh majikan dan ejen pekerja asing di sini.

Beliau berkata, mekanisme kerajaan ke kerajaan adalah untuk memastikan proses pengambilan pekerja asing yang lebih baik dan mengurangkan kos tanggungan menghantar pekerja ke luar negara.

Dr Subramaniam berkata kira-kira 267,000 pekerja Bangladesh mendaftar di bawah program pengampunan 6P.

Terdapat sekurang-kurangnya 400,000 warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia dengan kebanyakannya bertumpu dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan industri perkhidmatan.

Beliau berkata, kerajaan akan mempertimbangkan pengambilan pekerja dari Bangladesh untuk sektor perladangan dan pembuatan jika mekanisme bersesuaian diwujudkan.

Artikel Lain