suria

Orang Ramai Diminta Berhati-Hati Ketika Membeli-Belah

KUALA LUMPUR: Dalam keghairahan orang ramai terutama kaum wanita membeli-belah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India di sini, mereka diingatkan agar tidak leka dengan perbuatan jenayah seperti menyeluk saku dan ragut.

Anggota Jawatankuasa Biro Keselamatan Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong TAR, Abdul Rahman Sulaiman menasihati kaum wanita agar tidak memakai barang kemas dan berharga serta membawa beg tangan yang terlalu besar kerana ia boleh mengundang bahaya.

"Kita telah tangkap beberapa warga asing yang menoreh beg tangan pengunjung dengan menggunakan pisau kecil dan mencuri barangan berharga seperti telefon bimbit dan beg duit.

"Saya anggarkan antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung datang membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India bagi membuat persiapan Hari Raya dan mereka datang seawal pukul 8 pagi," katanya kepada Bernama.

Abdul Rahman berkata anggota persatuannya bergilir-gilir bertugas di kedua-dua kawasan tersebut bagi memastikan keselamatan pengunjung.

"Kami bertugas 24 jam sehari dengan 10 orang bersiap sedia di tempat khas kami bagi menjaga keselamatan pengunjung serta kira-kira 400 penjaja," katanya.

Persatuan itu yang ditubuhkan sejak 2007 sentiasa berkerjasama dengan Rela, Jabatan Pertahanan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Polis Diraja Malaysia bagi menjaga keselamatan di kawasan tersebut.

Seorang pengunjung Nur Baiti Bukhari, 29, dari Damansara Damai berkata beliau mengambil kesempatan untuk mengunjungi bazar tersebut sempena cuti hujung minggu.

"Walaupun terpaksa bersesak-sesak dan berhimpit dengan ramai orang, namun saya berpuas hati kerana dapat membeli baju raya yang saya inginkan dan situasi ini merupakan situasi yang hanya berlaku setahun sekali sahaja," katanya yang ditemani seorang lagi rakan iaitu Nor Asmaniza Ahmad, 30.

Seorang peniaga kain tudung wnita, Syed Haris Amir, 17, berkata pengunjung mula membanjiri Jalan TAR sejak penjawat awam mendapat bonus.

"Saya dan abang saya tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin mendapatkan kain tudung di gerai kami dan kemungkinan malam raya nanti, kita akan adakan jualan lelong dengan harga RM10 untuk tiga helai tudung bercorak pelbagai warna," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain