suria

KPDNKK Sentiasa Pantau Harga Barangan Untuk Kurangkan Beban Hidup Rakyat

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa memantau harga barangan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Tan Lian Hoe berkata ini dilakukan oleh KPDNKK dengan turun ke peringkat ladang dan berbincang dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong dari semasa ke semasa untuk memastikan barangan harga rendah dan berpatutan.

Katanya pengguna tidak perlu khuatir dengan bekalan barangan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti kerana bekalan mencukupi dengan harga yang rendah dan berpatutan berikutan usaha kerajaan turun ke peringkat akar umbi.

Tan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2012 yang menentukan harga maksimum bagi 21 jenis barangan harga terkawal, di Pasar Awam Bayan Baru di sini, Ahad.

Tempoh skim itu adalah selama 15 hari bermula hari ini dan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011.

Tan berkata ubi kentang import (China) adalah barangan tambahan dalam skim itu tahun ini berikutan permintaan tinggi semasa perayaan Hari Raya untuk masakan kari.

Harga yang ditetapkan untuk ubi kentang import (China) adalah RM2 sekilogram (harga borong) dan RM3 sekilo (harga runcit).

Tan, yang mengambil masa setengah jam melawat gerai-gerai, berkata beliau amat bangga dengan peniaga di Pasar Awam Bayan Baru kerana menjual barangan dengan harga lebih rendah daripada harga yang ditetapkan kerajaan.

"Ini menunjukkan peniaga hari ini prihatin terhadap pengguna dan tidak mengaut keuntungan yang berlebihan. Contohnya ayam standard (disembelih) dijual pada harga RM6.50 (sekilogram), lebih rendah daripada harga kawalan iaitu RM6.80," katanya.

Tan berkata peniaga harus mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan itu supaya tidak dikenakan tindakan tegas.

Antara peraturannya adalah memastikan barangan harga terkawal dijual tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan, meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu untuk barangan harga terkawal, meletakkan senarai harga dan menggunakan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan.

Peruncit yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun maksimum RM50,000.

Denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 boleh dikenakan ke atas syarikat yang melakukan kesalahan tersebut.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal, peniaga boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 manakala denda maksimum RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,00 keatas syarikat.

Di KUALA LUMPUR, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan mula memantau kesemua 20 jenis barangan runcit di bawah SKHMP 2012 bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Pengarahnya Abu Samah Shabudin berkata bagi Kuala Lumpur, PPDNKK akan mula melakukan tinjauan berkala dengan kekuatan 50 pegawai penguatkuasa dan 100 pegawai pemantau harga.

Di SELANGOR, kegagalan mempamerkan tanda harga jelas bagi barangan yang dikawal dan menggunakan alat timbang dan sukat yang hampir tamat tempoh adalah antara kesalahan yang dilakukan segelintir peniaga di Pasar Besar Klang di Jalan Meru pada hari pertama SKHMP 2012.

Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Othman Nawang bagaimanapun berkata pemantauan di pasar itu mendapati kebanyakan peniaga mematuhi skim kawalan harga ditetapkan.

"Bahagian Penguatkuasa kementerian hanya mengesan 15 peniaga tidak mempamerkan tanda harga jelas, manakala hanya seorang yang menggunakan alat timbang dan sukat yang hampir tamat tempoh.

"Peniaga terbabit hanya diberikan nasihat agar tidak mengulangi kesalahan itu dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan memandangkan hari ini adalah hari pertama skim kawalan harga bermula di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas Operasi Pemantauan Harga Barang di Pasar Besar Klang.

Othman berkata pihaknya berpuas hati dengan pemeriksaan yang dilakukan di pasar itu kerana kebanyakan peniaga menjual ikan kembung, tomato, cili dan kelapa parut pada harga jauh lebih rendah daripada yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

"Sebagai contoh, bagi harga ikan kembung sekilogram, harga ditetapkan kementerian ialah RM12, tapi peniaga jual sekitar RM6.50 hingga RM7.

Othman berkata kementerian mengesan 112 peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang melibatkan nilai rampasan RM20,552 sejak awal tahun ini sehingga Rabu lepas. - BERNAMA

Artikel Lain