suria

Jerebu Bertambah Teruk Di P.Pinang Akibat Kebakaran Di Sumatera

GEORGE TOWN: Keadaan berjerebu yang dikesan di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak beberapa hari lepas bertambah teruk pada Ahad yang berpunca dari kebakaran yang berlaku di Sumatera.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata Pulau Pinang dilanda jerebu tahap sederhana dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sekitar 76 hingga 96 sehingga pukul 11 pagi tadi berbanding hanya 64 hingga 94 pada pukul 5 petang Sabtu.

"Di Sumatera terdapat lebih 200 kawasan yang mudah terbakar semasa cuaca panas dan angin monsun membawa asap kebakaran itu melintasi sempadan Semenanjung termasuk negeri ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya bacaan IPU di kawasan Seberang Jaya mencatat 96 pada pukul 7 pagi hingga 11 pagi dengan jarak ketampakan dua kilometer.

Sementara IPU di Perai menujukkan berkadar 85 pada pukul 7 pagi hingga 11 pagi dengan jarak ketampakan enam kilometer dan di Bayan Lepas IPU direkodkan meningkat menjadi 68 pada pukul 11 pagi berbanding 66 pada pukul 7 pagi dengan jarak ketampakan empat kilometer.

Namun Phee berkata keadaan itu dijangka pulih minggu depan berikutan hujan yang dijangka turun di beberapa kawasan.

"Bagaimanapun, penduduk disaran mengelak dari ditimpa air hujan kerana ia menyerap jerebu dan berkemungkinan mengandungi asid serta boleh memudaratkan kesihatan," katanya.

Phee turut menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti rekreasi di luar rumah dan menggalakkan penggunaan kenderaan awam bagi mengurangkan pencemaran udara.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya minum banyak air berikutan cuaca kering melanda di negeri ini sejak beberapa hari lepas," katanya.

Bacaan IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 30 (berbahaya). - BERNAMA

Artikel Lain