suria

Ibu Terkilan Anak Tak Sempat Beraya, Maut Akibat Kemalangan

KEMAMAN: "Saya rasa sungguh terkejut dan terkilan di atas apa yang berlaku kerana semua persiapan raya untuk anak saya telah disiapkan.

"Malah anak saya sering mencuba sepasang baju Melayu dan kemeja T yang dibeli untuk dipakai pada hari raya nanti.

"Bagaimanapun saya reda di atas apa yang terjadi kerana ia sudah ditakdirkan begitu," kata Zaleha Ismail, 59, mengenai kematian anak bongsunya, Mohd Hanif Aizam Harun, 15, dalam kemalangan di Jalan Pantai Kampung Beris Meraga, Kijal di sini petang Sabtu.

Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di Hospital Kemaman kira-kira 10 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam, kemalangan berlaku kira-kira 5 petang semalam setelah remaja tersebut dikatakan terbabas dan terjatuh dari motosikalnya.

Zaleha berkata anaknya itu sering ke pantai sementara menunggu waktu berbuka puasa. Sementara itu seorang lagi penunggang motosikal turut maut dalam kemalangan jalan raya di Km123 Jalan Kertih-Kuantan di Kampung Bukit Kuang di sini kira-kira 9.25 malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Noor Razali, 22, dari Kampung Bukit Kuang yang meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya digilis sebuah lori kontena.

Che Suza berkata kejadian berlaku semasa mangsa datang dari arah Kertih menuju Bandar Chukai.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan seorang pejalan kaki. Akibat pergeseran itu, mangsa jatuh ke atas jalan lalu digilis lori kontena berkenaan," katanya.

Pemandu lori berumur 38 tahun itu dari Temerloh, Pahang, telah ditahan untuk siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain