suria

Belanjawan Tahun Depan Mesra Rakyat - Awang Adek

BACHOK: Belanjawan yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan adalah mesra rakyat untuk menghadapi ekonomi global yang tidak menentu, kata Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata pada asasnya belajawan tersebut menjurus ke arah kebajikan rakyat, meningkatkan hasil, menarik pelaburan dan mengukuhkan ekonomi negara.

"Kakitangan Kementerian Kewangan sedang bertungkus lumus menyiapkannya agar siap mengikut jadual yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang zakat kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri Jelawat di Sekolah Menengah Kebangsaan Teratak Pulai di sini, Ahad.

Hampir 700 penduduk miskin terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim dan orang tua, masing-masing menerima wang tunai RM100 bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.

Wang zakat berkenaan disumbangkan oleh 12 institusi kewangan termasuk Bank Islam Berhad, Bank Rakyat dan Lembaga Tabung Haji membabitkan peruntukan berjumlah RM500,000 untuk agihan di kawasan Parlimen Bachok.

Berucap pada majlis itu, Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata terdapat kira-kira 40,000 keluarga di Kelantan dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar yang memerlukan bantuan kerajaan.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu melakukan perubahan kepada golongan terbabit sekiranya diberi peluang pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain