suria

Tiada Susu Bayi Tercemar Diimport Ke Malaysia - Liow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti bahawa tiada susu bayi tercemar diimport ke pasaran Malaysia, kata menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Sehingga hari ini tiada apa-apa yang membimbangkan kerana kementerian ada mengambil sampel susu bayi secara rambang untuk mengkaji semua susu yang berada di pasaran termasuk susu dewasa juga dikaji," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama media di sini, Jumaat.

Liow berkata pengguna tidak perlu bimbang kerana kementerian sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai terjamin.

Katanya kementerian juga telah mengambil tindakan dengan membuat Pemeriksaan Tahap Lima iaitu Tahan, Uji dan Lepas terhadap susu rumusan bayi berjenama Wakodo dan Morinaga dari Jepun, semalam untuk dianalisa parameter iodin sekiranya diimport ke Malaysia.

Ditanya mengenai aspek kebersihan makanan yang dijual di bazar Ramadan, beliau berkata setakat ini tahap kebersihan makanan di bazar Ramadan sangat memuaskan kerana tiada kes keracunan dilaporkan di kawasan berkenaan.

"Kementerian belum menerima apa-apa aduan tentang kes keracunan makanan yang disebabkan penjualan di bazar Ramadan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya telah mengarahkan pegawai kesihatan daerah membuat pemantauan bagi memastikan makanan yang dijual di semua bazar Ramadan adalah bersih. -BERNAMA

Artikel Lain