suria

Pembangkang Tiada Dasar Bangunkan Wanita - Ng Yen Yen

GEORGE TOWN: Pihak pembangkang tidak mempunyai apa-apa dasar untuk meningkatkan pembangunan wanita, kata Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Malah, katanya pembangkang juga tidak pernah menyebut mengenai peranan wanita atau memberi pengiktirafan sebagaimana pendekatan kerajaan pusat yang sentiasa menghargai peranan dan pengorbanan wanita terhadap pembangunan negara.

"Wanita hari ini perlu memainkan peranan membina negara dengan lebih hebat sebab (dalam) senario politik (sekarang) banyak polisi yang akan memberi impak kepada pembangunan wanita," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita MCA Pulau Pinang di sini, Sabtu.

Dr Ng berkata, wanita di negara ini terus dihargai melalui dasar kerajaan iaitu penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat.

Malah, menurut beliau atas sikap prihatin terhadap pembangunan wanita, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah mengarahkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengadakan program pembangunan wanita. Mengenai senario politik di Pulau Pinang, Ng berkata MCA Pulau Pinang percaya, sayap Wanita negeri dengan semangat juang yang tinggi mampu menjadi penentu kejayaan pada pilihan raya umum ke-13, sekali gus membawa kesan positif terhadap pembangunan negeri itu.

Sementara itu, Dr Ng berkata Wanita MCA Pulau Pinang turut memberi beberapa gelaran terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng antaranya 'Mr Blame' (menyalahkan) kerana sering menyalahkan kerajaan pusat terhadap isu berkaitan negeri itu, 'Mr Avoid' (mengelak) kerana tidak menjawab isu termasuk pendirian DAP terhadap hukum Hudud.

Dr Ng berkata, gelaran 'Mr Boaster'( bercakap besar) juga ditujukan kepada Lim kerana bercakap besar mengenai usaha orang lain serta 'Mr Confuse" (keliru) kerana mengelirukan rakyat Pulau Pinang terhadap kesilapan yang dilakukan kerajaan tadbirannya. -BERNAMA

Artikel Lain