suria

Mayat Lelaki Ditemui Terperosok Dalam Longkang

PADANG SERAI: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa kemalangan jalan raya ditemui terperosok dalam sebuah longkang berhampiran Jalan Padang Meha-Batu Puteh dekat sini petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Salleh berkata mayat lelaki yang berusia dalam lingkungan 20an itu masih belum dikenalpasti identitinya.

Katanya, mangsa dipercayai terlibat dalam satu kemalangan dalam tempoh 24 jam lalu itu ditemui kira-kira pukul 7 petang bersama sebuah motosikal dalam keadaan terbalik tidak jauh daripada mayat.

"Badan mangsa didapati berlumuran darah. Penduduk berdekatan tempat kejadian memaklumkan kepada polis mengenai penemuan mayat tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Sabtu.

Polis percaya mangsa terbabas ketika menunggang motosikal melalui kawasan itu dan tercampak ke dalam longkang tanah yang dibina pemilik ladang kelapa sawit di situ. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Lain