suria

Himpunan Janji BERSIH Perlu Diadakan Secara Aman & Bertamadun - Nazri Aziz

IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan tidak menghalang 'Himpunan Janji BERSIH' yang akan diadakan pada 30 ogos ini sekiranya dibuat secara aman dan bertamadun.

Beliau berkata perhimpunan aman dibenarkan kerana ia telah termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman dan penganjur perlu mengikut undang-undang yang sedia ada.

"Kita (kerajaan) tiada masalah sekiranya mereka adakan perhimpunan aman kerana negara kita mempunyai Akta Perhimpunan Aman. Apa yang penting penganjur tidak melibatkan isu politik dalam perhimpunan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan hari raya menerusi Program 'Ihsan Ramadan dan Aidilfitri' di sini, Sabtu.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka pada 30 Ogos sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat beberapa lagi pemimpin politik di Sabah akan menyertai pembangkang tidak lama lagi, beliau berkata keputusan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) lompat parti adalah perkara biasa ekoran pilihan raya umum ke-13 hampir tiba. "Ada di kalangan wakil rakyat atau pemimpin Umno tidak dicalonkan untuk bertanding, jadi mereka telah ambil tindakan awal terpaksa lompat (parti) macam katak kerana mahu bertanding dalam pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan Anwar menarik pemimpin BN yang tidak tercalon dalam pilihan raya umum akan datang untuk menyertai pakatan pembangkang, sama sekali tidak akan menjejaskan BN.

"Kalau Anwar nak ambil mereka yang tak akan dicalonkan lagi untuk masuk parti Anwar, ambil la... Anwar pun bapak katak sebab dulu Anwar pun lompat parti dari Umno ke PKR. Tak hairan kalau dia menerima golongan dia sendiri, katak akan terima katak," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain