suria

Hampir Semua Jabatan Persekutuan Utama Sabah Diketuai Anak Tempatan - KSN

KOTA KINABALU: Hampir semua jabatan dan agensi Persekutuan utama di Sabah kini diketuai oleh penjawat awam di kalangan anak tempatan di negeri ini, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata ini termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pelajaran. Katanya kerajaan Persekutuan sentiasa memberi peluang kepada anak tempatan untuk mengetuai jabatan dan agensi Persekutuan di negeri ini seperti yang diharapkan oleh rakyat Sabah.

"Banyak lagi jabatan dan agensi Persekutuan lain di Sabah yang diterajui oleh anak tempatan, jadi isu ini tidak timbul (soal anak tempatan dipinggirkan)," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Ratu Elizabeth 1, dekat sini malam Jumaat.

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan berterusan pembangkang di Sabah yang menuntut supaya lebih banyak penjawat awam tempatan dari Sabah dilantik sebagai ketua jabatan dan agensi Persekutuan di negeri ini selaras dengan konsep 'Borneonisation' yang dipersetujui semasa pembentukan gagasan Malaysia.

Mengenai kerja pembinaan bangunan baru Hospital Ratu Elizabeth 1, Ali berkata beliau berpuas hati dengan tahap pencapaian projek itu dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual.

Katanya kerajaan Persekutuan melalui kementerian yang berkenaan sentiasa menyalurkan peruntukan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kemudahan di hospital berkenaan demi kebaikan bersama.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berbuka puasa dengan penjawat awam di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Persekutuan di Likas dekat sini, Ali berkata antara prinsip pentadbiran yang beliau tekankan ialah merakyatkan perkhidmatan awam.

Beliau berkata pendekatan seumpama itu penting bagi meningkat imej perkhidmatan awam di mata rakyat.

Ali meminta penjawat awam supaya membudayakan amalan turut padang, senyum dan mesra rakyat.

Beliau turut berharap agar semua ketua jabatan dapat melihat soal kebajikan petugas terutama dalam hal kenaikan pangkat bagi mereka yang sudah lama berkhidmat dalam sesuatu jabatan atau agensi Persekutuan.

"Kita bukan sahaja tengok perkara di luar tetapi juga kita kenalah tengok-tengok di belakang kita terutama soal kebajikan kakitangan kita. Kalaulah semua ketua jabatan melakukan ini, tentu sekali kakitangan akan berasa senang hati dan mungkin tidak perlu lagi bagi Cuepacs membangkitkan hal ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain