suria

DAP Cuba Selindung Agenda Negara Islam PAS

KUALA TERENGGANU: DAP cuba berselindung di sebalik hasrat sebenar PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam dengan mendakwa rakan kongsi Pakatan Rakyat itu sebenarnya ingin mewujudkan sebuah negara kebajikan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata DAP sengaja cuba menipu masyarakat Cina dengan menyembunyikan agenda penubuhan negara Islam PAS.

"Jika PAS benar-benar ingin mewujudkan sebuah negara kebajikan, mengapa Mursyidul Am parti itu, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, terus mempertahan agenda negara Islam tersebut?

"Ia menunjukkan kedua-dua DAP dan PAS mempunyai pandangan berbeza... mereka tidak boleh berdamai dalam perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Terengganu pada Jumaat.

Pada majlis itu, Liow menyerahkan sekeping cek bernilai RM285,000 kepada Persatuan Hai Nam untuk kerja pemulihan berterusan kuil purba Tien Hou di sini.

Beliau berkata Pakatan Rakyat tidak bersatu dan tidak senada kerana mereka dilihat lebih banyak menumpu kepada usaha merampas kerajaan untuk mentadbir negara ini.

Sebaliknya, Liow berkata formula Barisan Nasional sentiasa memastikan pembangunan damai yang berterusan di negara ini.

"Hanya formula Barisan boleh memastikan kita mampu melakukan transformasi secara teratur... sesetengah orang mahukan perubahan namun gagal memastikan kesatabilan dan keamanan sepanjang proses itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata MCA akan kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 kerana untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Parti kita mengalami naik dan turun untuk beberapa tahun yang lalu, tetapi tandakan kata-kata saya... kami akan kembali semula," katanya sambil menambah jentera parti MCA di seluruh negara, terutama di Terengganu, sudah mula bekerja keras. BERNAMA

Artikel Lain