suria

Sukarelawan Dipenjara Lima Tahun Cuba Bunuh Majikan Wanita

PETALING JAYA: Seorang sukarelawan rumah kebajikan pada Khamis dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah cuba membunuh majikannya tiga bulan lepas.

Hakim, Rozina Ayob memerintahkan Mohd Nashurdin Hassan, 39, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 Mei lepas.

Mohd Nashurdin, dari Kelantan, didakwa cuba membunuh pengurus Pertubuhan Kebajikan Baltul Fiqh Subang Jaya, Haliza Abdullah, 51, dengan cara menikam mangsa menggunakan sebilah pisau hingga menyebabkan kecederaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di asrama pusat tersebut di No 158, Jalan SS 14, Subang Jaya, pada 12.01 tengah malam, 12 Mei lepas.

Mohd Nashurdin yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh memasuki bilik pengurus tersebut dengan menendang pintu lalu menindih mangsa serta menikamnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana tindakannya boleh membawa kematian kepada mangsa. - BERNAMA

Artikel Lain