suria

Sekumpulan NGO Anjur Perhimpunan 'Janji Bersih' Pada Ambang Merdeka

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Bersih akan menganjurkan satu perhimpunan di Dataran Merdeka pada malam sambutan Hari Merdeka bagi mengulangi tuntutan penambahbaikan pilihan raya.

Wakil kumpulan itu iaitu Pengerusi bersama Bersih, Datuk A Samad Said berkata, perhimpunan itu yang dikenali sebagai “Janji Bersih” akan bermula pada pukul 10 malam pada 30 Ogos, bertempat di sebelah pancutan air berhampiran dengan tepi Dataran Merdeka.

Semua yang menyertainya diminta untuk memakai pakaian warna kuning.

“Objektif kami adalah untuk meminta rakyat Malaysia supaya sentiasa ingat bahawa sambutan kemerdekaan perlu berlandaskan demokrasi yang telus,” kata Samad pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina di sini, Khamis.

Beliau berkata, para penganjur belum lagi menjangkakan berapa ramai yang akan hadir tetapi katanya, perhimpunan yang seperti itu turut akan diadakan pada waktu yang sama di lokasi-lokasi lain seluruh negara dan semua orang, termasuk pemimpin parti politik akan dijemput untuk menyertainya.

Ketika ditanya sama ada para penganjur merancang untuk memohon permit daripada polis untuk menganjurkan majlis itu, aktivis politik, Hishammuddin Rais yang turut hadir pada sidang media dan menjawab mewakili penganjur berkata, isu itu tidak dibangkitkan.

Beliau berkata, ini kerana majlis tersebut adalah bermakna bagi membolehkan rakyat Malaysia menyokong terhadap tuntutan kepada pilihan raya yang bersih, untuk menyertai detik sambutan kemerdekaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada malam itu.

Bersih pada tahun lalu mengeluarkan lapan tuntutan terhadap kerajaan, di mana antaranya termasuk mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

Laporan PSC mengandungi 22 cadangan yang dibentangkan di Parlimen pada April dengan kerajaan kini mengkaji dan melaksanakan cadangan tersebut.

Artikel Lain